Saturday, 26 November 2016

Written by Suvarnaa

BERITA:


PROMOSI DESTINASI MELAKA DI JERMAN


MELAKA 14 Nov - Kerajaan Melaka akan berusaha memastikan wujud kerjasama yang kukuh dengan pihak berkuasa pelancongan di Berlin, Jerman bagi mempromosikan keunikan Melaka sebagai destinasi pelancongan kepada pengunjung dari Eropah.
Bagi memastikan usaha itu terlaksana, kerajaan negeri akan memperkenalkan aplikasi pintar ‘Destinasi Melaka’ yang dapat mengetengahkan produk pelancongan negeri tersebut kepada penduduk di Jerman termasuk di seluruh benua itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, menerusi aplikasi tersebut, pelancong dari Eropah boleh memperoleh maklumat mengenai Melaka hanya dengan melayari aplikasi itu yang menyediakan pelbagai lokasi pelancongan dan tumpuan utama pelancong.
“Kerajaan negeri telah menghasilkan satu aplikasi mudah alih untuk mempromosikan pelancongan Melaka yang direka khas oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) Melaka. “Menerusi aplikasi ini, pengguna telefon pintar di seluruh dunia boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai pelancongan Melaka dan mencari tempat penginapan, lokasi tumpuan pelancong, acara serta festival yang akan berlangsung serta pelbagai promosi pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Pintar ‘Destinasi Melaka’ dan Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2016 sempena Pameran Perdagangan Pelancongan Dunia International Tourismus Borse (ITB) 2016 di Messe Berlin, Jerman hari ini.
Pelancaran program anjuran kerajaan negeri Melaka itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Negeri Melaka sedang bergerak ke hadapan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat dan untuk itu pihaknya berhasrat memenuhi keperluan orang ramai dengan menggunakan teknologi baharu seperti aplikasi tersebut.
Beliau berkata, aplikasi berkenaan turut dilengkapkan dengan waze dan Google maps khusus bagi pengguna telefon pintar mengakses tarikan pelancong, restoran, persembahan dan pusat membeli-belah pada telefon pintar mereka.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2016 pada 1 Jun hingga 9 Jun ini melibatkan 10 acara antarabangsa dan 20 acara domestik. “Pelbagai aktiviti termasuk perarakan 50 buah bot berhias mengambil bahagian dalam festival ini melibatkan 4,000 peserta pelbagai bangsa,” katanya.


Ujar Idris, Melaka sangat terkenal pada masa lalu sebagai pusat dagangan dunia, dan kini berbangga dengan Sungai Melaka dikenali sebagai Venice of The East yang mesti dilawati.
  


RENCANA:

PELANCONGAN DI MELAKA PERLU SEIMBANG
Oleh Suvarnaa Soosai


Melaka sememangnya terkenal di seluruh dunia sejak beratus tahun dulu. Terpahatnya nama Selat Melaka di peta dunia mengangkat nama Melaka sehingga menutupi nama Malaysia di kalangan pelancong asing.
Pujian seharusnya diberikan kepada kerajaan negeri Melaka kerana bersungguh-sungguh menarik pelabur dalam industri pelancongan ke Melaka. Beberapa hotel baru bertaraf lima bintang sedang dibina di bandar raya Melaka selain kemudahan dan tarikan pelancongan seperti Melaka Mall, Dataran Pahlawan dan Masjid Selat Melaka.
Usaha murni kerajaan negeri dan pelabur industri pelancongan dilihat hanya bertumpu ke kawasan bandar raya Melaka sahaja. Walaupun ada promosi dan galakan pelancongan seperti di daerah Alor Gajah dan Jasin, namun ia seolah-olah seperti tidak serius.
Seperti wujud ketidakseimbangan dalam membangunkan industri pelancongan secara menyeluruh ke seluruh pelosok negeri Melaka. Mungkin ada yang berkata tiada pelabur yang ingin membina hotel di Jasin, Selandar atau Alor Gajah misalnya, tetapi jika ada usaha kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan memberi galakan dan sokongan di samping promosi dan pemasaran yang hebat, saya percaya bandar-bandar tersebut tidak kurang penting dan boleh dimajukan.
Tarikan pelancongan yang sememangnya telah sedia ada di luar bandar raya Melaka perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Mungkin ramai yang sudah lupa Asahan adalah tempat mendaki ke Gunung Ledang selain dari Sagil di Tangkak, Johor. Cuma kurang promosi daripada semua pihak menjadikan Asahan dilupakan. Begitu juga Muzium Jasin yang menyimpan dokumen dan pengisahan Sultan Mahmud Shah meminang Puteri Gunung Ledang. Makam Tun Teja di Merlimau dan Rumah Tradisional Melayu di Sungai Rambai, mempunyai tarikan sejarah yang unik tetapi kurang ditonjolkan               

 Muzium Jasin
Gunung Ledang

Kerajaan negeri sepatutnya mendesak dan mengarahkan syarikat ejen pelancongan memasukkan tarikan di luar bandar raya Melaka dalam pakej lawatan pelancong mereka. Hal ini kerana pakej pelancongan sekarang ini lebih tertumpu kepada tempat-tempat seperti Stadthuys, A Famosa, Christ Church, St. Paul Church, Perigi Hang Li Po dan lain-lain lagi.
Tiada usaha dan galakan yang bersungguh-sungguh untuk membawa pelancong ke kawasan luar bandar negeri Melaka. Pengendali dan pengusaha pusat tarikan pelancongan di luar bandar kebanyakannya adalah bumiputera. Mereka terpaksa mempromosikan tarikan pelancongan mereka sendiri. Risalah pelancongan yang diterbitkan oleh Pelancongan Malaysia, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Melaka dan Unit Promosi Pelancongan di Jabatan Ketua Menteri kurang memberikan tumpuan kepada aspek pelancongan di sekitar Alor Gajah dan Jasin. Jika ada pun maklumat yang diberikan tidak lengkap.
Pengusaha calet di Pantai Tanjung Bidara misalnya seperti menagih simpati kepada orang ramai. Walaupun pemandangan dan suasana pantai menarik dikunjungi, namun kurang promosi dan sokongan daripada ejen pelancongan, mengakibatkan perniagaan mereka seperti hidup segan mati tak mahu.
Akibatnya ramai yang tidak tahu termasuk pelancong tempatan sendiri bahawa negeri Melaka juga kaya dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung tradisional Melayu yang begitu cantik dan unik. Walaupun terdapat program homestay seperti di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah dan Anjung Bonda di Jasin, namun akibat kurang promosi kampung tradisi yang bersiha dan cemerlang dilupakan begitu sahaja.
Usaha semua pihak haruslah digembleng untuk sama-sama memajukan sektor pelancongan di seluruh pelosok negeri Melaka. Gandingan pihak kerajaan, dewan perniagaan Melayu, pengusaha pelancongan bumiputera, ejen pelancongan dan masyarakat setempat perlu diwujudkan untuk tujuan promosi hebat sebagai satu agenda baru bahawa melancong ke Melaka tidak hanya tertumpu di Ayer Keroh dan bandar raya Melaka sahaja.
Walaupun usaha penduduk tempatan seperti di Kampung Tehel bersatu padu memajukan kampung mereka sebagai satu destinasi pelancongan di Melaka, hakikat kurangnya aspek pemasaran dan promosi menjadikan tarikan pelancongan pertanian dan alam semula jadi pudar begitu sahaja.
Dicadangkan kerajaan negeri Melaka membina hotel bajet di setiap bandar kecil dan pekan di negeri Melaka untuk menampung penginapan pelancong. Sebagai contoh tiada hotel di Jasin, Selandar dan Merlimau, sedangkan bandar kecil ini mempunyai banyak tarikan pelancongan berasaskan pertanian, alam semula jadi dan rekreasi. Kerajaan negeri sepatutnya mencontohi Indonesia yang mempunyai hotel walaupun kecil di hampir setiap bandar kecil. Sebagai contoh perjalanan dari Semarang ke Jepara melalui sembilan pekan yang kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah hotel.
Apabila wujud hotel di sesuatu kawasan tersebut, industri pelancongan dapat dijana dengan lebih serius. Ini sekurang-kurangnya memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di samping boleh mewujudkan lebih banyak industri hiliran berasaskan pelancongan seperti makanan, kraf tangan dan hasil-hasil pertanian.
Jika alasan tempat-tempat menarik di luar bandar raya Melaka jauh dan tidak selesa, ia boleh disanggah kerana kemudahan awam seperti jalan raya di negeri itu antara yang terbaik di Malaysia.
Galakan, sokongan dan desakan dari kerajaan negeri amat ditagih agar seluruh rakyat Melaka dapat menikmati limpahan industri pelancongan. Selepas ini mereka bukan lagi menjadi pemerhati, malah bertindak sebagai pengusaha dan peserta industri pelancongan di negeri bersejarah itu.
 Masjid Selat Melaka




IKLAN:
 

Friday, 25 November 2016

Written by Nur Syafiqah



BERITA:
 
MALAYSIA SEBAGAI HUB PELANCONGAN

             
SEREMBAN, 24 Nov – Industri pelancongan adalah merupakan antara sektor terpenting bagi perkembangan dan kemajuan bagi sesebuah negara.
Hal ini demikian kerana industri pelancongan banyak menyumbang dalam penghasilan dan pulangan yang lumayan kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara.
Malaysia merupakan negara yang mempunyai banyak tempat pelancongan kerana mempunyai 14 buah negeri yang rata-ratanya mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, jumlah kedatangan pelancong merekodkan peningkatan meskipun bajet yang diperuntukan kepada kementerian dikurangkan.
Jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia setakat Jun direkodkan seramai 13.03 juta berbanding tahun lepas seramai 12.56 di mana jumlah peningkatannya sebanyak 3.7 peratus.
Peningkatan ini dilihat sebagai tanda positif bahawa Malaysia masih menjadi destinasi pilihan yang utama bagi para pelancong. Namun beliau optimis bahawa peningkatan itu mampu ditingkatkan lagi kepada tujuh peratus.
Malaysia pada dasarnya mampu menjadi hub pelancongan kerana mempunyai pelbagai tempat menarik yang wajib dikunjungi. Antara negari wajib kunjung adalah negeri Terengganu.
Terengganu merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai banyak tempat-tempat yang menarik yang boleh dikunjungi dan Terengganu juga boleh dikategorikan sebagai syurga makanan bagi mereka yang cintakan makanan.
Di Terengganu, bukan sahaja banyak tempat untuk membeli belah dengan harga yang murah malahan negeri itu juga mempunyai banyak kawasan perairan seperti Pantai Rhu Spuloh atau lebih dikenali sebagai Pantai Penarik yang amat terkenal dalam kalangan pelancong dengan pantainya yang menarik dan bersih.
Selain Pantai Rhu sepuloh, terdapat pelbagai tempat pelancongan yang boleh dilewati di Terengganu yang sememangnya tidak akan mengecewakan. Terengganu sememangnya tempat pelancongan yang tidak akan mengecewakan pelancong.



RENCANA:
 


PERCUTIAN ALA NELAYAN DI LAGUNA SETIU




Percutian di lokasi-lokasi  pelancongan popular seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang serta kawasan pantai seumpama Port Dickson pastinya sudah dianggap terlalu biasa bagi mereka yang gemar berkelah serta beriadah seperti memancing.
Disebabkan itu, penulis merancang untuk menulis mengenai Laguna Agro Resort di Setiu, Terengganu yang merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular di Pantai Timur.
Apa yang menarik tentang temapat ini adalah, pihak resort menawarkan pengalaman unik kepada pelancong dengan merasai sendiri kehidupan seharian sebagai nelayan selain menetap di persisir pantai.
Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, penulis memulakan perjalanan dengan menaiki kereta rakan. Perjalanan untuk ke Laguna Agro Resort dimiliki oleh Pertubuhan Peladang, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil masa kira-kira 1 jam 4 minit.
Pengalaman bercuti di destinasi percutian bajet berkeluasan 880 hektar itu telah memberi 1001 kenangan indah yang sukar untuk dilupakan, apatah lagi ilmu yang dicurahkan kakitangan resort dalam memberi pengalaman menyelusuri kehidupan harian sebagai nelayan.
Mungkin ia rutin biasa bagi penduduk setempat, tetapi bukan bagi pelancong luar khususnya dari Bandar yang inginkan ketenangan serta suasana kampung.
Dengan bayaran yang sikenakan serendah RM100.00 untuk bilik yang boleh memuatkan seramai tiga orang, pelancong dapat menikmati pemandangan indah dan persekitaran cantik yang memukau seperti hamparan pantai yang memutih dan suasana lagun yang mendamaikan.
Sejujurnya, tidak pernah terlintas dalam fikiran betapa gembiranya kehidupan seorang nelayan setelah hasil tangkapan seperti ikan, lala, lokan dan kerang itu dapat dikongsi serta dirasai sendiri bersama ahli keluarga.
Malah, kesemua hasil laut itu akan dijadikan menu utama yang akan disajikan pihak resort tanpa sebarang upah atau dikenakan bayaran tambahan.
Bagi pelancong yang mahukan lebih keseronokan, mereka boleh meminta pihak resort untuk mengadakan aktiviti menyusuri lagun, memancing ikan dan udang galah, mencari kepah, kerang, ketam nipah serta melihat lokasi pendaratan penyu. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh membeli hasil hiliran laut seperti belacan, budu,ikan masin dan lain-lain dengan harga yang amat rendah.
Menurut pengurus resort, Mohamad Faizal Abdullah, 21, konsep resort berlatarbelakangkan perkampungan nelayan adalah permintaan orang ramai terutama penduduk setempat yang mahu pemandangan semulajadi terus kekal dipelihara selepas dikomersialkan.
Sepanjang empat, tahun penubuhannya, resort ini terus kekal dipilih sebagai salah satu destinasi percutian khususnya buat pelajar university seperti penulis sendiri yang datang secara beramai-ramai.
Laguna Agro Resort juga sesuai diadakan aktiviti berbentuk kem dan perkhemahan selain bermalam di chalet bagi percutian biasa.
Bagi mereka yang ingin menempah untuk aktiviti perkhemahan seharusnya menempah sebulan lebih awal kerana tempat ini sentiasa menerima tempahan dan penuh sepanjang tahun. – NUR SYAFIQAH BINTI MOHD SUFRI



IKLAN: