Saturday, 26 November 2016

Written by Suvarnaa

BERITA:


PROMOSI DESTINASI MELAKA DI JERMAN


MELAKA 14 Nov - Kerajaan Melaka akan berusaha memastikan wujud kerjasama yang kukuh dengan pihak berkuasa pelancongan di Berlin, Jerman bagi mempromosikan keunikan Melaka sebagai destinasi pelancongan kepada pengunjung dari Eropah.
Bagi memastikan usaha itu terlaksana, kerajaan negeri akan memperkenalkan aplikasi pintar ‘Destinasi Melaka’ yang dapat mengetengahkan produk pelancongan negeri tersebut kepada penduduk di Jerman termasuk di seluruh benua itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, menerusi aplikasi tersebut, pelancong dari Eropah boleh memperoleh maklumat mengenai Melaka hanya dengan melayari aplikasi itu yang menyediakan pelbagai lokasi pelancongan dan tumpuan utama pelancong.
“Kerajaan negeri telah menghasilkan satu aplikasi mudah alih untuk mempromosikan pelancongan Melaka yang direka khas oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) Melaka. “Menerusi aplikasi ini, pengguna telefon pintar di seluruh dunia boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai pelancongan Melaka dan mencari tempat penginapan, lokasi tumpuan pelancong, acara serta festival yang akan berlangsung serta pelbagai promosi pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Pintar ‘Destinasi Melaka’ dan Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2016 sempena Pameran Perdagangan Pelancongan Dunia International Tourismus Borse (ITB) 2016 di Messe Berlin, Jerman hari ini.
Pelancaran program anjuran kerajaan negeri Melaka itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Negeri Melaka sedang bergerak ke hadapan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat dan untuk itu pihaknya berhasrat memenuhi keperluan orang ramai dengan menggunakan teknologi baharu seperti aplikasi tersebut.
Beliau berkata, aplikasi berkenaan turut dilengkapkan dengan waze dan Google maps khusus bagi pengguna telefon pintar mengakses tarikan pelancong, restoran, persembahan dan pusat membeli-belah pada telefon pintar mereka.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2016 pada 1 Jun hingga 9 Jun ini melibatkan 10 acara antarabangsa dan 20 acara domestik. “Pelbagai aktiviti termasuk perarakan 50 buah bot berhias mengambil bahagian dalam festival ini melibatkan 4,000 peserta pelbagai bangsa,” katanya.


Ujar Idris, Melaka sangat terkenal pada masa lalu sebagai pusat dagangan dunia, dan kini berbangga dengan Sungai Melaka dikenali sebagai Venice of The East yang mesti dilawati.
  


RENCANA:

PELANCONGAN DI MELAKA PERLU SEIMBANG
Oleh Suvarnaa Soosai


Melaka sememangnya terkenal di seluruh dunia sejak beratus tahun dulu. Terpahatnya nama Selat Melaka di peta dunia mengangkat nama Melaka sehingga menutupi nama Malaysia di kalangan pelancong asing.
Pujian seharusnya diberikan kepada kerajaan negeri Melaka kerana bersungguh-sungguh menarik pelabur dalam industri pelancongan ke Melaka. Beberapa hotel baru bertaraf lima bintang sedang dibina di bandar raya Melaka selain kemudahan dan tarikan pelancongan seperti Melaka Mall, Dataran Pahlawan dan Masjid Selat Melaka.
Usaha murni kerajaan negeri dan pelabur industri pelancongan dilihat hanya bertumpu ke kawasan bandar raya Melaka sahaja. Walaupun ada promosi dan galakan pelancongan seperti di daerah Alor Gajah dan Jasin, namun ia seolah-olah seperti tidak serius.
Seperti wujud ketidakseimbangan dalam membangunkan industri pelancongan secara menyeluruh ke seluruh pelosok negeri Melaka. Mungkin ada yang berkata tiada pelabur yang ingin membina hotel di Jasin, Selandar atau Alor Gajah misalnya, tetapi jika ada usaha kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan memberi galakan dan sokongan di samping promosi dan pemasaran yang hebat, saya percaya bandar-bandar tersebut tidak kurang penting dan boleh dimajukan.
Tarikan pelancongan yang sememangnya telah sedia ada di luar bandar raya Melaka perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Mungkin ramai yang sudah lupa Asahan adalah tempat mendaki ke Gunung Ledang selain dari Sagil di Tangkak, Johor. Cuma kurang promosi daripada semua pihak menjadikan Asahan dilupakan. Begitu juga Muzium Jasin yang menyimpan dokumen dan pengisahan Sultan Mahmud Shah meminang Puteri Gunung Ledang. Makam Tun Teja di Merlimau dan Rumah Tradisional Melayu di Sungai Rambai, mempunyai tarikan sejarah yang unik tetapi kurang ditonjolkan               

 Muzium Jasin
Gunung Ledang

Kerajaan negeri sepatutnya mendesak dan mengarahkan syarikat ejen pelancongan memasukkan tarikan di luar bandar raya Melaka dalam pakej lawatan pelancong mereka. Hal ini kerana pakej pelancongan sekarang ini lebih tertumpu kepada tempat-tempat seperti Stadthuys, A Famosa, Christ Church, St. Paul Church, Perigi Hang Li Po dan lain-lain lagi.
Tiada usaha dan galakan yang bersungguh-sungguh untuk membawa pelancong ke kawasan luar bandar negeri Melaka. Pengendali dan pengusaha pusat tarikan pelancongan di luar bandar kebanyakannya adalah bumiputera. Mereka terpaksa mempromosikan tarikan pelancongan mereka sendiri. Risalah pelancongan yang diterbitkan oleh Pelancongan Malaysia, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Melaka dan Unit Promosi Pelancongan di Jabatan Ketua Menteri kurang memberikan tumpuan kepada aspek pelancongan di sekitar Alor Gajah dan Jasin. Jika ada pun maklumat yang diberikan tidak lengkap.
Pengusaha calet di Pantai Tanjung Bidara misalnya seperti menagih simpati kepada orang ramai. Walaupun pemandangan dan suasana pantai menarik dikunjungi, namun kurang promosi dan sokongan daripada ejen pelancongan, mengakibatkan perniagaan mereka seperti hidup segan mati tak mahu.
Akibatnya ramai yang tidak tahu termasuk pelancong tempatan sendiri bahawa negeri Melaka juga kaya dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung tradisional Melayu yang begitu cantik dan unik. Walaupun terdapat program homestay seperti di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah dan Anjung Bonda di Jasin, namun akibat kurang promosi kampung tradisi yang bersiha dan cemerlang dilupakan begitu sahaja.
Usaha semua pihak haruslah digembleng untuk sama-sama memajukan sektor pelancongan di seluruh pelosok negeri Melaka. Gandingan pihak kerajaan, dewan perniagaan Melayu, pengusaha pelancongan bumiputera, ejen pelancongan dan masyarakat setempat perlu diwujudkan untuk tujuan promosi hebat sebagai satu agenda baru bahawa melancong ke Melaka tidak hanya tertumpu di Ayer Keroh dan bandar raya Melaka sahaja.
Walaupun usaha penduduk tempatan seperti di Kampung Tehel bersatu padu memajukan kampung mereka sebagai satu destinasi pelancongan di Melaka, hakikat kurangnya aspek pemasaran dan promosi menjadikan tarikan pelancongan pertanian dan alam semula jadi pudar begitu sahaja.
Dicadangkan kerajaan negeri Melaka membina hotel bajet di setiap bandar kecil dan pekan di negeri Melaka untuk menampung penginapan pelancong. Sebagai contoh tiada hotel di Jasin, Selandar dan Merlimau, sedangkan bandar kecil ini mempunyai banyak tarikan pelancongan berasaskan pertanian, alam semula jadi dan rekreasi. Kerajaan negeri sepatutnya mencontohi Indonesia yang mempunyai hotel walaupun kecil di hampir setiap bandar kecil. Sebagai contoh perjalanan dari Semarang ke Jepara melalui sembilan pekan yang kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah hotel.
Apabila wujud hotel di sesuatu kawasan tersebut, industri pelancongan dapat dijana dengan lebih serius. Ini sekurang-kurangnya memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat di samping boleh mewujudkan lebih banyak industri hiliran berasaskan pelancongan seperti makanan, kraf tangan dan hasil-hasil pertanian.
Jika alasan tempat-tempat menarik di luar bandar raya Melaka jauh dan tidak selesa, ia boleh disanggah kerana kemudahan awam seperti jalan raya di negeri itu antara yang terbaik di Malaysia.
Galakan, sokongan dan desakan dari kerajaan negeri amat ditagih agar seluruh rakyat Melaka dapat menikmati limpahan industri pelancongan. Selepas ini mereka bukan lagi menjadi pemerhati, malah bertindak sebagai pengusaha dan peserta industri pelancongan di negeri bersejarah itu.
 Masjid Selat Melaka




IKLAN:
 

No comments:

Post a Comment